24 Oktober 2007

Mungkin anda gemuk kerana...

Memang persoalan kegemukan selalu ditanya dalam majalah, akhbar dan juga internet. Walaupun persoalan itu sebenarnya sukar dijawab dengan tepat tetapi ada beberapa langkah yang boleh diambil oleh setiap individu bagi mengelakkan kesihatan dan berat badan menjadi tidak terkawal. Hari ini saya ingin berkongsi tip dari hasil ujikaji seorang penyelidik tentang amalan makan waktu lewat malam.

Dalam satu ujikaji dua kumpulan tikus telah digunakan sebagai sampelnya. Kumpulan A mengandungi tikus yang diberi makan pada awal malam sekitar jam 8 malam. Kumpulan B mengandungi tikus yang diberi makan sekitar jam 12 malam. Species tikus, jumlah dan jenis makanan semuanya sama malah ditimbang dan disukat supaya sama, hanya yang berbeza ialah waktu diberi makan.

Setelah beberapa minggu didapati perbezaan amat ketara antara tikus-tikus dari kedua-dua kumpulan itu. Semua tikus dari Kumpulan B mempunyai berat badan yang jauh lebih berat daripada tikus-tikus Kumpulan A. Penyelidik mendapati hormon dalam badan yang berbeza pada waktu makan tersebut menyebabkan makanan diproses secara berbeza dan boleh menyebabkan masalah kegemukan.

Oleh itu, cuba elakkan makan lewat malam terutamanya makanan berat yang berlemak atau manis. Jagalah diri agar sihat dan ceria selalu...!